‘Adek Saye Abe Sore’ rezeki baharu Eda Ezrin

Oleh: Aliyaa Azmi

SELEPAS melalui episod hitam dalam hidupnya, penyanyi Eda Ezrin kembali membuka lembaran baharu dalam karier seni apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Adek Saye Abe Sore.

Lebih menarik, lagu berkenaan menyaksikan Eda kembali bergandingan dengan rakan duetnya, Den Manjo, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap keserasian mereka.

Karya ciptaan Eddie Hamid itu merupakan kesinambungan kepada fenomena Cinta Setandan Pisang atau “Bae Soba Bae” yang pernah mencetuskan perhatian ramai dengan lebih 33 juta tontonan di YouTube.

Menurut Eddie, “Adek Saye Abe Sore” dihasilkan dengan pendekatan lebih segar dan moden, namun masih mengekalkan elemen dikir barat yang menjadi identiti karya terdahulu.

“Lagu ini dihasilkan dengan muzik yang lebih moden walaupun masih mengekalkan elemen dikir barat. Saya menjangkakan lagu ini juga akan mendapat sambutan baik sebagaimana ‘Cinta Setandan Pisang’.

“Sebenarnya, saya sudah siapkan lagu ini lebih setahun lalu, namun terpaksa disimpan. Walaupun ramai penyanyi lain meminta lagu ini, saya tetap menyimpannya untuk Eda Ezrin kerana kesesuaian vokalnya,” katanya.

Bagi Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, peluang ini disifatkan sebagai satu rezeki dan titik permulaan baharu dalam perjalanan seninya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana masih diberi kepercayaan. Untuk lagu ini, proses rakaman berjalan lancar kerana kami sudah serasi dan tahu tanggungjawab masing-masing.

“Namun, saya akui berdebar menantikan reaksi pendengar kerana pasti akan dibandingkan dengan lagu sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, Eda berharap lagu tersebut mampu membuka lebih banyak ruang untuknya terus berkarya selepas melalui fasa mencabar sebelum ini.

Adek Saye Abe Sore kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muzik rasminya telah dilancarkan di YouTube.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat