Adik Aidil ditemui selamat selepas lebih 30 jam hilang

MELAKA: Muhammad Aidil Asyraf Fadli, seorang remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu di Kampung Permatang Pasir telah berjaya ditemui selepas lebih 30 jam.

Aidil, yang merupakan seorang remaja orang kurang upaya (OKU), keluar mencari haiwan ternakan milik bapa saudaranya pada petang Rabu tetapi tidak pulang seperti biasa.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu yang memakai baju-T berwarna hijau itu ditemui oleh penduduk bersama pasukan bomba kira-kira pukul 1.57 pagi.

Berdasarkan beberapa video di laman media sosial, anak kedua daripada enam beradik itu dilihat terpaksa dipapah oleh dua anggota bomba, manakala kedengaran penduduk kampung melaungkan azan ketika kejadian.

Difahamkan, remaja terbabit dikesan selepas mereka terdengar suara mangsa mengerang dalam keadaan terbaring di kawasan semak di belakang rumah penduduk sebelum berjaya diselamatkan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk kampung.

Dalam usaha pencarian, pasukan penyelamat menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) dan memperluaskan kawasan pencarian sehingga tiga kilometer.

Anda Mungkin Berminat