PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan ‘Deeming Provision’ di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Melalui pelaksanaan ini, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial berskala besar akan dianggap berdaftar di bawah lesen Applications Service Provider Class (ASP(C)), sekali gus meletakkan dalam kerangka undang-undang dan kawal selia negara.
“Saya menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pelaksanaan Deeming Provision di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menganggap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai berdaftar di bawah lesen Applications Service Provider Class (ASP(C)),” katanya.
Beliau berkata, langkah itu adalah pendekatan pragmatik dan progresif, selari dengan perkembangan pesat landskap digital semasa khususnya melibatkan platform dengan jutaan pengguna di Malaysia.
“Saya berpandangan bahawa inisiatif ini amat penting dalam memperkukuh aspek keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak dan institusi keluarga yang kini terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian seperti kandungan berbahaya, penipuan, eksploitasi dan penyalahgunaan data,” katanya.
Pelaksanaan berperingkat yang bermula pada 1 Januari 2026 turut dilihat sebagai pendekatan adil dan seimbang, memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan pematuhan tanpa menjejaskan operasi global.
Syed Ahmad yang juga dikenali sebagai Altimet berkata, langkah itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan kebebasan tersebut dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan selaras dengan undang-undang negara.
“Kedaulatan undang-undang mesti terpakai kepada semua pihak yang beroperasi dan menjana manfaat ekonomi serta sosial di Malaysia,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa semua pihak berkepentingan termasuk penyedia platform, masyarakat sivil dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh kepada MCMC dalam menjayakan dasar ini demi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, berintegriti dan berdaya tahan untuk rakyat Malaysia.








