Aeroangkasa, Tenaga Bersih dan AI Jadi Tumpuan Kerjasama Malaysia-Perancis

PARIS: Malaysia dan Perancis terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, tenaga bersih dan kecerdasan buatan (AI) menerusi hasil pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

“Ini mencerminkan potensi besar hubungan Malaysia–Perancis dalam menghadapi cabaran global dengan berani, sambil memacu pertumbuhan ekonomi digital dan mampan,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu merangkumi penglibatan aktif syarikat gergasi seperti Airbus, yang komited terhadap penghantaran pesawat A330 Neo kepada Malaysia Aviation Group (MAG) serta pembelian pesawat oleh AirAsia yang memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara.

Katanya, dalam sektor tenaga bersih, PETRONAS bekerjasama dengan syarikat Perancis seperti TotalEnergies SE dan Engie SA yang menyokong misi peralihan tenaga Malaysia ke arah penyelesaian rendah karbon dan mampan.

Selain bidang teknikal, Anwar berkata, kerjasama turut meliputi pendidikan tinggi dan pertukaran pelajar, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperluas jaringan akademik dan pembangunan modal insan.

Dalam perbincangan yang berlangsung dalam suasana terbuka dan jujur, Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usaha Macron memperjuangkan keamanan dunia khususnya dalam isu Gaza.

“Malaysia kekal sebagai rakan yang konstruktif dan komited dalam memperkukuh multilateralisme serta penyelesaian adil dan berkekalan bagi dunia yang lebih aman,” katanya.

“Kedua-dua pihak sependapat bahawa kerjasama sejati perlu dibina atas asas saling menghormati, kepercayaan dan kejelasan moral dan bukan semata-mata atas kepentingan politik atau ekonomi,” tambah Anwar.

Sebagai langkah memperkukuh hubungan, Anwar turut mengundang Macron untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bagi meneroka potensi baharu dalam hubungan dua hala, kerjasama ASEAN dan peranan antarabangsa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Anda Mungkin Berminat