PETALING JAYA: Selepas hampir dua setengah tahun terhenti akibat kerosakan dan kerja naik taraf menyeluruh, perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bakal kembali beroperasi mulai hari ini (Selasa), 1 Julai, tepat pukul 10 pagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengesahkan perkembangan ini setelah menandatangani dokumen sah perkhidmatan itu pada Isnin.
“Aerotrain ini yang bawa penumpang ulang-alik antara terminal utama dan bangunan satelit supaya perjalanan lebih cepat dan selesa di KLIA Terminal 1.
“Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus siang malam pastikan aerotrain kembali beroperasi.
“Jumpa anda di aerotrain!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Aerotrain KLIA, yang mula beroperasi sejak pembukaan KLIA pada 1998, merupakan sistem pengangkutan automatik yang menghubungkan bangunan terminal utama dengan bangunan satelit dan merupakan laluan penting bagi penumpang antarabangsa.
Namun, pada Mac 2023, sistem ini digantung susulan insiden teknikal yang menyebabkan penumpang terpaksa berjalan kaki di atas landasan selepas tren mengalami kerosakan di tengah perjalanan.
Sebagai tindak balas, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melancarkan projek penggantian menyeluruh bernilai RM742 juta termasuk pembinaan semula sistem rel, stesen dan pembekalan tiga set tren baharu berteknologi tinggi Alstom Innovia APM 300R.
Setiap tren kini mampu membawa sehingga 270 penumpang dengan kelajuan maksimum 56 km/j dan menjadikan masa perjalanan antara terminal kurang daripada tiga minit.
Sebelum pelancaran semula ini, sistem baharu telah menjalani ujian ketat selama enam bulan termasuk larian bebas kerosakan sejauh ribuan kilometer dan simulasi pelan kecemasan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Pelancaran semula Aerotrain ini bukan sahaja menandakan peningkatan kecekapan logistik di KLIA, malah menjadi simbol kesiapsiagaan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pelbagai acara antarabangsa yang bakal berlangsung di negara ini.








