Afandi Wakil PKR Sertai Freedom Flotilla Ke Gaza

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, menyertai pelayaran Freedom Flotilla Coalition yang sedang berusaha menembusi sekatan laut Israel bagi menghantar bantuan kemanusiaan terus ke Gaza.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata keberanian Afandi menjadi lambang solidariti parti dan rakyat Malaysia bersama perjuangan rakyat Palestin.

“Risiko yang bakal dihadapi amat besar, namun penderitaan rakyat Palestin jauh lebih berat untuk terus kita saksikan tanpa tindakan,” katanya.

Afandi Salleh dalam satu catatan di Facebook pula berkata, dunia tidak boleh lagi berdiam diri melihat genosid dan kebuluran berterusan di Gaza yang dikepung Israel sejak 2008.

“Lebih 65,000 nyawa terkorban, ratusan ribu cedera, ramainya kanak-kanak dan wanita. Rundingan di PBB pun tidak akan membawa apa-apa perubahan. Dunia tak boleh tunggu lagi, tiba masa untuk kita bangkit menuntut keadilan,” katanya.

Beliau mendedahkan pernah ditahan Israel pada tahun 2018 kerana menyertai misi kemanusiaan serupa. Kali ini, katanya, flotilla sekali lagi berdepan risiko besar apabila beberapa kapal diserang dron, letupan serta gangguan komunikasi di perairan antarabangsa.

“Saya boleh hidup selesa di Malaysia sebagai profesor, tetapi sebagai ahli MPP KEADILAN, saya berpegang teguh pada nilai yang ditanamkan Perdana Menteri bahawa KEADILAN perlu berperanan membentuk dunia yang lebih adil. Ini perjuangan suci merentas sempadan negara,” katanya.

Misi Freedom Flotilla Coalition disertai aktivis antarabangsa dengan matlamat membuka koridor laut ke Gaza, mengurangkan kebergantungan kepada laluan darat, serta menuntut laluan selamat bagi semua misi bantuan yang mencabar sekatan Israel.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat