Afdlin Bantah Cadangan Gabung Sunway–IJM, Bimbang Jejas Pegangan Bumiputera

PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, menggesa kerajaan meneliti semula cadangan penggabungan antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad, yang disifatkannya boleh menjejaskan pegangan rakyat serta melemahkan kedudukan Bumiputera dalam sektor korporat negara.

Beliau berkata, IJM bukan syarikat biasa kerana sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh institusi pelaburan utama milik rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 18.04 peratus, Permodalan Nasional Bhd( PNB) sebanyak 14.55 peratus, serta Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji, Amanah Raya dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB).

“Jika penggabungan ini diluluskan, pegangan Bumiputera dijangka jatuh di bawah 25 peratus, sekali gus mengurangkan kuasa rakyat terhadap syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Afdlin turut memberi amaran bahawa penguasaan besar oleh konglomerat seperti Sunway Group, milik Tan Sri Jeffrey Cheah, boleh mencipta dominasi luar biasa dalam sektor pembinaan dan infrastruktur negara, sekali gus menekan pemain kecil tempatan.

“Apabila satu kumpulan menguasai terlalu banyak, pasaran jadi tidak seimbang. Yang tinggal hanyalah serpihan peluang untuk orang bawah. Kesannya monopoli seperti perjanjian IPP YTL Power yang pernah menyebabkan rakyat menanggung bil elektrik tinggi.” katanya lagi.

Menurutnya, penggabungan itu bukan sekadar soal perniagaan tetapi melibatkan masa depan ekonomi negara yang dibina atas dana rakyat.

“Ini bukan soal politik, ini soal masa depan. Ia melibatkan duit caruman KWSP, pelaburan ASB, dan simpanan Tabung Haji rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sikap pasif institusi pelaburan utama seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji yang disifatkannya sebagai “penjaga amanah rakyat,” serta mengingatkan kerajaan agar tidak membiarkan aset strategik rakyat berpindah tangan kepada golongan kaya.

Katanya, pengalaman lalu seperti pembatalan penggabungan UEM Sunrise–EcoWorld menunjukkan suara rakyat mampu mengubah keputusan besar dan perlu terus dipertahankan bagi menjamin ketelusan ekonomi negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat