PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan tampil memberi respons terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyebutnya sebagai “pelawak profesional” selepas meraih kemenangan dalam pemilihan parti.
Dalam kenyataan medianya, Afdlin berkata, seni bukan sekadar hiburan kosong tetapi cerminan masyarakat yang sering lebih jujur.
“Saya tidak malu dengan gelaran pelawak, pengarah, penerbit, penulis, pendidik dan aktivis sosial.
“Ia sebahagian daripada identiti saya sebagai anak seni, malah ia juga cara saya menyara keluarga selama ini.
“Tetapi apabila label itu digunakan untuk mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, ia membawa maksud yang lain,” katanya.
Afdlin mengingatkan bahawa kemenangannya bukan sekadar peribadi tetapi satu gelombang perubahan yang turut melibatkan pasukan kepimpinannya di Setiawangsa.
“Seluruh pasukan saya, Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang, AJK dan Ketua AMK turut menang dalam pemilihan.
“Ini bukan kemenangan individu, tetapi suara kolektif akar umbi yang mahukan nafas baharu,” tambahnya lagi.
Sebagai figura seni yang kini menyertai gelanggang politik, Afdlin percaya seni dan politik dapat bergabung untuk menyentuh nurani rakyat.
“Politik tanpa kemanusiaan hanyalah pengurusan kuasa yang kering.
“Saya mahu menjadi jambatan antara dunia kreatif dengan pentadbiran yang lebih berperikemanusiaan,” ujarnya.
Walaupun enggan memanjangkan polemik, Afdlin tetap berpegang kepada prinsip untuk mempertahankan integriti dan mandat yang diberikan kepadanya oleh ahli akar umbi.
“Saya terbuka untuk bekerjasama, termasuk dengan Rafizi sendiri, demi membina cabang yang lebih kuat dan membawa parti ke hadapan.
“Tetapi saya juga tidak akan berdiam jika usaha saya dan suara akar umbi cuba dipinggirkan hanya kerana saya tidak datang dari ‘kilang politik’ yang sama,” tegasnya.
Mengakhiri kenyataan, Afdlin menyeru agar PKR kekal sebagai rumah perjuangan yang inklusif, bukannya gelanggang perlekehan dalam kalangan pemuka.