DOHA: Afghanistan dan Pakistan mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas seminggu pertempuran sengit di sepanjang sempadan kedua-dua negara, hasil rundingan damai yang dimediasi oleh Qatar dan Turkiye.
Kementerian Luar Negeri Qatar dalam kenyataan awal pagi Ahad memaklumkan, kedua-dua pihak bersetuju menghentikan semua bentuk serangan serta menubuhkan mekanisme bagi memperkukuh keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau berkenaan.
“Afghanistan dan Pakistan juga akan mengadakan siri mesyuarat susulan dalam tempoh terdekat bagi memastikan kelestarian gencatan senjata serta memantau pelaksanaannya dengan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Rundingan damai antara dua negara jiran Asia Selatan itu berlangsung di Doha pada Sabtu, susulan pertempuran yang meragut puluhan nyawa dan mencederakan ratusan yang lain menjadikan konflik terburuk sejak Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan pada 2021.
Jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengesahkan rundingan itu diketuai Menteri Pertahanan, Mullah Muhammad Yaqoob, manakala delegasi Pakistan dipimpin Menteri Pertahanan, Khawaja Muhammad Asif.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan, perbincangan memberi tumpuan kepada langkah segera menamatkan serangan rentas sempadan yang didakwa berpunca daripada kumpulan pemberontak beroperasi dari wilayah Afghanistan.
Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama keselamatan serta memulihkan keyakinan antara dua negara demi menjamin kestabilan serantau.
Pertempuran di sempadan sepanjang 2,600 kilometer itu tercetus selepas Islamabad menuntut Kabul mengambil tindakan terhadap kumpulan bersenjata yang didakwa meningkatkan serangan ke atas wilayah Pakistan dari kawasan perlindungan di Afghanistan.








