PUTRAJAYA: Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama-sama dengan Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
“Selepas meneliti hujahan dan prinsip undang-undang yang dikemukakan, kami mendapati isu yang ditimbulkan adalah sesuatu yang baharu dan menyentuh kepentingan awam serta perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah.” Kata Hakim Hasnah dalam keputusannya, dipetik.
Dengan keputusan ini, Peguam Negara dibenarkan merayu, dan mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar persoalan undang-undang yang akan dihujahkan.

Sebelum ini, Peguam Negara memohon kebenaran merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum ke Mahkamah Tinggi.
Mohd. Dusuki mengemukakan tujuh persoalan undang-undang yang menyentuh isu kepentingan awam dan belum pernah dibicarakan di mahkamah tertinggi negara.
Pada 24 Mac lalu, panel hakim Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujahan daripada Mohd. Dusuki dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Dalam hujahnya, Mohd. Dusuki menyentuh beberapa persoalan, termasuk sama ada bukti baharu boleh dikemukakan dalam semakan kehakiman, dan sama ada beban pembuktian kewujudan bukti baharu terletak pada Peguam Negara.
Sebaliknya, Muhammad Shafee berhujah bahawa permohonan kebenaran merayu sepatutnya ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini tidak relevan lagi, memandangkan Mahkamah Rayuan sudah memutuskan bahawa Titah Adendum wujud.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, dan keputusan itu dipertikaikan oleh Najib di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan, dalam keputusan 2-1 pada 6 Januari, membenarkan permohonan Najib untuk mencabar kewujudan Titah Adendum yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Baca juga: