PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tiada isu berhubung kelayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Ketua Kerajaan susulan pengampunan penuh yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-15.
AGC berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan mahkamah difailkan oleh Waytha Moorthy Ponnusamy terhadap Anwar, yang antara lain mencabar kelayakan beliau memegang kedua-dua jawatan berkenaan.
Menurut AGC, asas tuntutan itu adalah dakwaan bahawa pengampunan yang diberikan YDPA tidak membatalkan kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, AGC menegaskan bahawa Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar bin Ibrahim v Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan YDPA mempunyai kuasa untuk mengampunkan sabitan dan hukuman.
“Perintah Pengampunan yang dititahkan oleh YDPA Ke-15 menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, AGC menegaskan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Perdana Menteri.
AGC turut menjelaskan bahawa sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya dibuat melalui petisyen pilihan raya seperti diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan difailkan dalam tempoh ditetapkan mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Baca juga:








