AGC arah gali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazahnya.

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan langkah itu penting bagi membantu polis melengkapkan siasatan dan memperoleh bukti tambahan berhubung punca kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat keperluan untuk tindakan lanjut bagi memastikan segala aspek siasatan disiasat secara menyeluruh.

“Laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan kepada polis bersama arahan termasuk keperluan menggali semula mayat Zara Qairina untuk prosedur bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, ibu mangsa, Noraidah Lamat, memaklumkan beliau telah mengarahkan peguamnya menguruskan proses penggalian semula kubur anaknya selepas mendakwa pengebumian dilakukan tanpa sebarang bedah siasat.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sehari selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

Kes itu dikaitkan dengan dakwaan buli.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat