KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, dan Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, bakal dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berkait kenyataan yang didakwa mengancam ketenteraman awam.
Selain mereka berdua, dua individu lain turut akan berdepan tindakan undang-undang.
Menurut AGC, pertuduhan terhadap Akmal berkait dengan hantaran di Facebook, manakala Hilman berhubung kenyataan yang dibuat di TikTok. Kedua-dua mereka akan dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
“Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat. Kenyataan-kenyataan yang dibuat didapati menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” jelas AGC.
Dalam perkembangan berkaitan, AGC turut memaklumkan seorang guru sekolah akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) kerana didakwa menyebarkan kenyataan palsu berhubung kematian pelajar Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan mesin basuh.
Seorang lagi individu – pengguna TikTok yang sebelum ini dituduh menghina Perdana Menteri – akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Mengikut jadual, Hilman akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok pagi, manakala Akmal dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Akmal yang kini berada di Tanah Suci menunaikan umrah berkata beliau akan pulang lebih awal untuk hadir ke mahkamah.
“Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara, saya tidak akan berganjak walau seinci. Kita jumpa di mahkamah Jumaat ini,” katanya.
Baca juga: