AGC Putuskan Tiada Tindakan Lanjut Terhadap Kes DNAA Zahid

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut (No Further Action – NFA) terhadap kes 47 pertuduhan dana Yayasan Akalbudi yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan media pada Khamis, AGC berkata, keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong pendakwaan bagi semua pertuduhan tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap keterangan baharu hasil siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

AGC turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal – DNAA) Ahmad Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana yayasan itu.

“Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada Jabatan ini selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipanggil untuk membela diri,” kata kenyataan itu.

AGC berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira skop siasatan awal serta dapatan baharu SPRM yang memperhalusi gambaran keseluruhan fakta dan konteks kes.

“Pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.

“Serta dapatan siasatan lanjut yang terperinci oleh SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes,” kata kenyataan itu.

Menurut AGC, siasatan lanjut turut merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan dari masa ke semasa.

Sehubungan itu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil, sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.

Keputusan itu dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

AGC menegaskan bahawa keputusan tersebut berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.

Anda Mungkin Berminat