AGC sumbang RM100,000 naik taraf Sekolah Angkat MADANI di Kelantan

KOTA BHARU: Sekolah Kebangsaan (SK) Long Gafar menerima suntikan dana sebanyak RM100,000 di bawah Program Sekolah Angkat MADANI yang dilancarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peruntukan itu digunakan bagi menaik taraf fasiliti pembelajaran, termasuk pemasangan 26 unit Smart TV 43 inci di kelas, empat Smart TV 65 inci di bilik khas, empat tablet untuk pentadbir sekolah serta penaiktarafan gelanggang kriket.

Selain itu, perpustakaan sekolah turut menerima 120 naskhah buku baharu, manakala 30 murid menerima sumbangan tunai, selain semua murid diraikan dengan jamuan ais krim.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mohktar berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pendidikan luar bandar.

“Program Sekolah Angkat MADANI adalah manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap cabaran pendidikan luar bandar. AGC sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Beliau turut menyerahkan simbolik sumbangan alat bantu mengajar dan peralatan kriket kepada Guru Besar SK Long Gafar, Haris Irman Sharifuddin.

“Kita mahu mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif agar guru dan murid dapat mencapai kecemerlangan,” katanya lagi.

Majlis turut dihadiri Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Masri Mohd Daud, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Datuk Idham Abd Ghani, serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu.

“Kerjasama ini diharap dapat memberi inspirasi kepada murid untuk terus cemerlang dalam pelbagai bidang,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat