PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengampunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sah kerana didakwa tidak melalui persidangan Lembaga Pengampunan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, AGC berkata, Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51 telah berlangsung pada 16 Mei 2018 di Istana Negara pada pukul 11.00 pagi dengan kehadiran Sultan Muhammad V selaku Pengerusi.
Menurutnya, mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Tun Dr Mahathir sendiri yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Jabatan ini menegaskan bahawa suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan telah diadakan pada hari Rabu, 16 Mei 2018, jam 11.00 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur,” jelas AGC dalam kenyataan itu.
Menurut AGC, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta Anwar Ibrahim atas nasihat Lembaga Pengampunan dengan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta pada hari mesyuarat berlangsung.
Bagi memastikan keputusan itu dibuat mengikut lunas perundangan, AGC berkata, Peguam Negara telah memberikan pendapat bertulis kepada Lembaga Pengampunan berdasarkan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan sewajarnya.
AGC juga memberi peringatan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berkaitan keputusan pengampunan adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.
Terdahulu, menerusi satu rakaman video, Tun Mahathir mendakwa bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar Ibrahim tidak sah kerana dikatakan tidak melalui prosedur yang sepatutnya.