AGC Terima Laporan Penuh Siasatan Kes Libat Ismail Sabri, Bekas Setiausaha Politiknya

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah menerima laporan penuh siasatan berhubung wang tunai yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Anuar Mohd Yunus.

Menurut kenyataan media AGC, wang tunai tersebut telah disita oleh SPRM pada 20 Februari lalu dan laporan siasatan lengkap diserahkan kepada AGC pada Jumaat lepas.

“Tindakan pelucuthakan harta kepada Kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai tersebut telah diambil oleh pihak SPRM, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

AGC turut menjelaskan bahawa proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah adalah dua perkara yang berbeza dan perlu ditangani secara berasingan.

“Sehubungan itu, walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan oleh SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, penelitian laporan akan melibatkan pelbagai sudut termasuk aspek keterangan dan elemen pembuktian sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dibuat.

“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan tersebut selesai,” tambahnya.

AGC turut memberi jaminan bahawa setiap langkah yang diambil adalah bebas, telus dan berlandaskan undang-undang.

Terdahulu, pada 9 September, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita dan dipercayai milik Ismail Sabri kini telah menjadi hak kerajaan.

Katanya, wang berkenaan telah dimasukkan ke akaun kerajaan.

Tindakan tersebut diambil selepas Ismail Sabri tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak wang itu.

Anda Mungkin Berminat