AGC Tidak Teruskan Rayuan Kes Pengubahan Wang Haram Rosmah

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang difailkan pada tahun 2018.

Notis rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Tuan Muniandy a/l Kannyappan, telah difailkan pada 20 Disember 2024. Keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024 itu membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta AMLATFA dan AMLATFPUAA.

Menurut kenyataan pada Khamis itu, rekod rayuan telah diterima daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025.

Setelah meneliti sepenuhnya Alasan Penghakiman, Jabatan Peguam Negara memutuskan rayuan tidak akan diteruskan kerana mendapati tiada prospek kejayaan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Antara faktor utama keputusan tersebut ialah ketidakupayaan pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Ini susulan beberapa saksi penting yang telah meninggal dunia atau tidak lagi dapat dikesan, sekali gus menjejaskan keupayaan pihak pendakwaan membuktikan kesalahan predikat terhadap tertuduh.

Sehubungan itu, suatu Notis Penarikan Balik Rayuan telah difailkan pada 9 Disember 2025.

Bagaimanapun, AGC menegaskan bahawa penarikan balik rayuan ini tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan.

Kes rasuah membabitkan projek solar hibrid 369 sekolah luar bandar di Sarawak, di mana Rosmah telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 1 September 2022 dengan hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta masih diteruskan dan kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan. Pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

AGC turut menegaskan komitmen untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti, berasaskan undang-undang serta bukti yang tersedia demi memastikan keadilan dan kepentingan awam terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat