PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding menghina mahkamah atau komital terhadap bekas peguam negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh, adalah pelanggaran secara langsung perintah mahkamah berkait semakan kehakiman bekas perdana menteri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mahkamah Tinggi bulan lalu membenarkan penangguhan prosiding dalam permohonan Najib untuk menguatkuasakan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
“Untuk penjelasan, isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai 2025, berkaitan Permohonan Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024.

“Isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan tersebut.
“Mahkamah Tinggi pada 28 April 2025 telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan tersebut diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan. Pada 22 Mei 2025, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan tersebut meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
“Sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan,” kata kenyataan tersebut.
Ini sementara menunggu pendengaran rayuan kerajaan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah adendum itu.
“AGC tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan tersebut (memulakan prosiding menghina mahkamah) diketepikan atas alasan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, peguam Najib memaklumkan mereka memfailkan permohonan pada Rabu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Terrirudin atas dakwaan gagal mendedahkan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara bawah tahanan rumah.
AGC juga mempertahankan tindakan Terrirudin, dengan menyatakan bekas peguam negara menjalankan tugasnya mengikut undang-undang sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Dakwaan bahawa beliau cuba mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas sama sekali. Tindakan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ketika proses rayuan masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis,” katanya.
Baca juga: