PARLIMEN | Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa kes fitnah yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkaitan kes tersebut, Dang Wangi Repot 23401/2025, pada 18 Ogos tahun lalu.
Menurut beliau, PDRM membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum merujuk kertas siasatan itu kepada AGC pada 23 Disember 2025.
“AGC kemudiannya memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Saifuddin menjelaskan, keputusan tersebut dibuat berdasarkan laporan analisis profil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang gagal mengenal pasti pemilik akaun terlibat serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun Facebook yang disiasat.
Beliau menjawab soalan Rafizi yang meminta penjelasan mengenai status siasatan PDRM dan MCMC berhubung laporan yang dibuat oleh Setiausaha Akhbar kepada Ismail Sabri pada 18 Ogos 2025, berkaitan dakwaan fitnah di Facebook yang mengaitkan Ahli Parlimen Bera itu dengan serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pada kira-kira jam 2 petang, 13 Ogos tahun lalu, anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan melibatkan suntikan bahan cecair ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Puchong.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kenderaan isteri Rafizi menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku.
Beberapa hari selepas itu, Setiausaha Akhbar kepada Ismail Sabri membuat laporan polis serta aduan kepada MCMC terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu dan berunsur fitnah yang mengaitkannya dengan insiden tersebut.
Rafizi turut menafikan sebarang dakwaan yang mengaitkan Ismail Sabri dengan serangan terhadap anaknya.
Pada 30 Januari lalu, Rafizi dilaporkan berkata beliau bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Saifuddin bagi meminta siasatan kes serangan terhadap anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.
Menurutnya, walaupun masih mempercayai proses siasatan sedang berjalan, kes tersebut telah berlarutan terlalu lama sejak Ogos tahun lalu.
Baca juga:








