PETALING JAYA: Agenda reformasi akan terus menjadi tunjang utama dalam usaha membina semula institusi negara melalui tatakelola Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menyampaikan hala tuju dan inisiatif yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.
“Usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, antara reformasi utama yang akan digerakkan tahun ini termasuk pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Anwar berkata, langkah-langkah itu amat penting untuk mengukuhkan asas negara serta mewujudkan sistem hukum yang lebih telus dan berintegriti.
Selain itu katanya, Kerajaan MADANI turut memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam serta menyegerakan projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang dan menambah lampu jalan.
Beliau berkata, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran, melalui pemberian bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta pelbagai inisiatif pendidikan dan kesihatan.
Semua langkah itu, katanya, saling melengkapi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.
“Semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua,” katanya.








