Agensi Kerajaan Wajib Guna Bahasa Kebangsaan Secara Menyeluruh – DBP

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan bahawa semua agensi kerajaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan secara betul dan menyeluruh dalam setiap urusan rasmi termasuk surat-menyurat, dokumen, komunikasi serta penamaan program.

Dalam kenyataan media pada Isnin, DBP melahirkan kebimbangan terhadap trend penggunaan bahasa asing secara berlebihan oleh beberapa agensi kerajaan khususnya dalam penamaan program dan slogan rasmi.

Fenomena itu, menurut DBP, mencerminkan sikap yang tidak selari dengan dasar kebangsaan dan menjejaskan usaha memperkasakan bahasa Melayu.

“Tindakan sebegini bukan sahaja bercanggah dengan aspirasi kerajaan, malah memperlekeh usaha pemerkasaan bahasa Melayu yang sedang giat dijalankan,” menurut kenyataan itu.

DBP turut merujuk kepada Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Oktober 2025, yang menegaskan bahawa semua urusan rasmi kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Arahan itu selari dengan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu setiap agensi kerajaan mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta pekeliling perkhidmatan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan.

Menurut DBP, kegagalan mematuhi arahan tersebut bukan sahaja melanggar dasar, malah boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap Perlembagaan dan satu tindakan yang menjatuhkan martabat bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran tetapi simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan,” tegas DBP.

Sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkukuh dasar bahasa negara, DBP menyatakan komitmennya untuk terus melaksanakan latihan, memperluas kerjasama antara kementerian dan memperketat pemantauan pelaksanaan dasar.

Langkah itu dilihat penting bagi memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama pentadbiran dan perpaduan negara.

Anda Mungkin Berminat