PETALING JAYA: Kerajaan MADANI terus melangkah maju dalam menyampaikan bantuan kepada golongan pesawah dengan pengagihan sumbangan ihsan bernilai RM30 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Februari lalu.
Sumbangan itu, hasil inisiatif syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), bukanlah dana awam, tetapi peruntukan dalaman korporat syarikat tersebut.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu, sumbangan telah diterima sepenuhnya daripada BERNAS pada 28 Mac 2025 dan kini dalam proses agihan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak.
“Setiap langkah pengeluaran dana telah mematuhi piawaian ketat termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kelulusan pihak pengurusan tertinggi, yang menunjukkan komitmen BERNAS terhadap kebertanggungjawaban dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa agihan sumbangan itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April, sekali gus memenuhi harapan tinggi para pesawah di seluruh negara.
“KPKM telah memulakan proses pengagihan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara.
“Agihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April 2025,” katanya.
Katanya, pendekatan Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat melalui sokongan sektor korporat.
“Kita percaya, sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik,” tegas beliau, sambil menyeru para pesawah agar terus bersabar sementara proses agihan itu disempurnakan.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut merakamkan penghargaan atas kesabaran yang ditunjukkan oleh para pesawah dan menekankan bahawa bantuan itu akan sampai kepada setiap individu yang layak tanpa pengecualian.
“…kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak.
“Kementerian juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung,” katanya.