Agihan Keuntungan RM25.8 Juta Pertubuhan Peladang Sebelum Aidilfitri

PETALING JAYA: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan langkah khas yang memberi kelegaan kepada lebih 400,000 anggota peladang di seluruh negara.

Dalam kenyataan rasmi, beliau memaklumkan bahawa pengeluaran Perintah Khas bagi membolehkan pembahagian keuntungan Pertubuhan Peladang bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat keuntungan tertinggi sejak penubuhannya pada 1972, iaitu RM221 juta bagi tahun kewangan 2024.

Namun, penggantungan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) menjejaskan proses agihan keuntungan mengikut tatacara biasa.

Bagi memastikan hak anggota tidak terjejas, Menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 27(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] untuk mengeluarkan arahan khas.

Sebanyak 212 Pertubuhan Peladang dikenal pasti layak melaksanakan pembahagian keuntungan dengan jumlah keseluruhan RM25.8 juta.

“Keputusan ini dibuat atas pertimbangan kepentingan anggota peladang agar hak mereka tidak terjejas akibat isu tatakelola yang sedang ditangani,” katanya.

Perintah Khas ini hanya terpakai bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024, manakala tatacara lanjut pembayaran akan diumumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat