Agong Berangkat Ke Istiadat Pertukaran Panji-Panji, Simbol Kedaulatan Dan Kehormatan ATM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Khamis berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Seri Paduka Baginda yang berlangsung penuh adat ketenteraan di Dataran Kawad Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Ketibaan Seri Paduka disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar bersama barisan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Istiadat berprestij itu diadakan bagi menggantikan Panji-Panji lama yang sudah lusuh dengan yang baharu sebagai simbol kedaulatan dan kehormatan Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Majlis kali ini turut mencatat sejarah apabila tiga panji ditukar secara serentak menjadikannya yang pertama sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Perbarisan melibatkan kekuatan 34 pegawai dan 430 anggota tentera dimulakan dengan Hormat Diraja, diikuti perarakan keluar Panji lama serta penganugerahan Panji baharu kepada detasmen terlibat.

Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa barisan kehormat menaiki kenderaan khas dan memberi tabik hormat kepada anggota yang mengambil bahagian dalam istiadat penuh tradisi ketenteraan itu.

Anda Mungkin Berminat