PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi lawatan khas selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu, atas jemputan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Lawatan itu merupakan kunjungan julung kali Seri Paduka Baginda ke UAE sejak menaiki takhta, sekali gus menandakan kepentingan hubungan diplomatik dan persahabatan diraja antara kedua-dua negara.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 9 pagi.
Keberangkatan Baginda turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani.
Turut mengiringi ialah Pengelola Bijaya Diraja Johor, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa.
Lawatan khas itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE khususnya dalam aspek diplomasi, perdagangan serta pelaburan.
UAE merupakan rakan strategik penting Malaysia di Asia Barat dengan hubungan erat yang telah lama terjalin, merangkumi kerjasama ekonomi, pembangunan serta hubungan diplomatik yang semakin kukuh.








