Agong berangkat pulang, selesai lawatan negara ke China

Oleh: Kamilia Ali

CHINA: Lawatan negara ke Republik Rakyat China oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selama empat hari telah berakhir dan baginda berangkat pulang ke tanah air pada pagi ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, pesawat peribadi baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada pukul 9.28 pagi tadi.

Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda ialah Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong; Duta Besar China ke Malaysia, Quyang Yuijing; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknikal Pesawat Awam, Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC) Beijing bagi membuat tinjauan dan dipersembahkan taklimat berkenaan teknologi penerbangan China yang terkini pada Sabtu.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan mencuba simulator penerbangan di pusat penyelidikan tersebut.

Baginda kemudian berangkat ke Lapangan Terbang Beijing Capital bagi meninjau dua buah pesawat yang dibina oleh COMAC.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat