Agong Berangkat Ziarah Makam Diraja Mahmoodiah Sempena Ulang Tahun Keputeraan

PETALING JAYA: Bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, baginda berkenan berangkat ke Makam Diraja Mahmoodiah pada Sabtu bagi menghadiri majlis doa selamat penuh istiadat dan kesederhanaan.

Dalam majlis ringkas itu, bacaan Yassin dan tahlil dipimpin oleh Imam Makam Diraja, Ustaz Masri Sapiran @ Sapuan.

Seusai bacaan doa, Sultan Ibrahim turut menabur bunga dan menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Ismail, Almarhum Sultan Iskandar, Almarhumah Enche’ Besar Khalsom serta Almarhum Tunku Abdul Jalil Tunku Laksamana Johor, sebagai tanda penghormatan kepada Almarhum keluarga diraja.

Pada malam sebelumnya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar bagi menghadiri majlis bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut bersama dalam majlis itu ialah Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Temenggong Johor; Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Tunku Panglima Johor; Tunku Abu Bakar Al-Haj, Tunku Putera Johor serta Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Bacaan Yassin dan tahlil dipimpin oleh Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, manakala keluarga diraja Johor menunaikan solat Maghrib bersama jemaah yang hadir.

Anda Mungkin Berminat