ABU DHABI: KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat dua pusat teknologi canggih serta fasiliti pembuatan milik Kumpulan EDGE, iaitu NIMR dan CARACAL di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke UAE yang bermula Isnin.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke NIMR di Pusat Perindustrian Tawazun, Abu Dhabi disambut oleh Hamad Al Marar, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE.
Baginda kemudian berkenan dipersembahkan taklimat oleh Khaled Al Zaabi, Presiden Kluster Platform dan Sistem EDGE.
Seusai lawatan di NIMR, Seri Paduka Baginda berangkat ke CARACAL dan disambut oleh Hamad Al Ameri, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.
Untuk info, CARACAL merupakan pengeluar senjata kecil terkemuka, manakala NIMR pula adalah pengeluar kenderaan tentera berprestasi tinggi berpangkalan di Abu Dhabi.
Kedua-duanya adalah entiti di bawah EDGE Group, konglomerat pertahanan UAE yang terkemuka.
Semasa lawatan di CARACAL, Seri Paduka Baginda turut berkenan mempamerkan kemahiran menembak menggunakan senapang penembak tepat CSR 308 di lapangan sasar sejauh 100 meter.








