Agong berkenan rasmi Persidangan Kesihatan Antarabangsa Megatrends 2024

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Sultan Ibrahim bertitah, MIH Megatrends 2024 menjadi platform penting yang menekankan inovasi dalam bidang kesihatan.

“Ia menjadi platform penting untuk negara terus meneroka inovasi dan memimpin dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang,” titah baginda.

Turut hadir pada program itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif JCORP, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

MIH Megatrends 2024 melibatkan lebih 3,000 penyertaan daripada golongan profesional dalam penjagaan kesihatan, penggubal dasar dan pemimpin industri dari seluruh dunia untuk saling bertukar idea serta meneroka kemajuan dalam bidang kesihatan.

Persidangan ini yang bermula semalam (25 Oktober) selama tiga hari adalah anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Acara tahun ini turut menampilkan lebih 100 pempamer dan aktiviti yang membawa perkembangan terkini dalam teknologi perubatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan.

Anda Mungkin Berminat