Agong Berkenan Rasmi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor dalam satu majlis penuh istiadat di Larkin, Johor pada Jumaat.

Baginda turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, bersama-sama keluarga diraja Johor termasuk Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda serta tiga putera Johor iaitu Tunku Idris Iskandar, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Pusat kanser moden bernilai RM500 juta itu akan dikendalikan oleh Precious Hospitals Sdn Bhd, sebuah penyedia perkhidmatan kesihatan berpangkalan di Singapura dengan matlamat memperkukuh perkhidmatan onkologi negara melalui gabungan kepakaran sektor awam dan swasta.

Kemudahan bertaraf antarabangsa itu menempatkan 200 katil, pusat PET-CT serta fasiliti perubatan nuklear yang dilengkapi dengan siklotron pertama di luar Lembah Klang.

Teknologi tersebut membolehkan pengeluaran radioisotop perubatan dilakukan secara terus di lokasi, sekali gus mengurangkan kebergantungan bekalan dari luar dan mempercepatkan proses pengimejan serta terapi kanser.

“Pusat ini diharap menjadi mercu perkhidmatan rawatan kanser yang mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat,” menurut hantaran di Facebook rasmi Baginda.

Hospital ini dinamakan sempena Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Laksamana Johor, yang mangkat akibat kanser hati pada 5 Disember 2015.

Pemergian Almarhum menjadi inspirasi kepada penubuhan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, yang kini diteruskan melalui pembangunan pusat rawatan berprestij ini.

Anda Mungkin Berminat