Agong Berkenan Saksi Sumbangan RM1 Juta QSR Brands Bantu Pelajar Memerlukan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke majlis kebajikan yang menyaksikan sumbangan RM1 juta daripada QSR Brands (M) Holdings Bhd bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Majlis bertemakan ‘QSR Brands Kongsi Bersama’ berlangsung di M Hotel, dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap usaha memperkasa pendidikan dan kebajikan rakyat.

Ketibaan Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna bersama pengurusan tertinggi syarikat.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kepada penerima terpilih termasuk Sekolah Kebangsaan Tasek Utara dan Pusat Jagaan Baitul Sakinah.

Nehchal berkata, inisiatif itu lahir daripada inspirasi kepimpinan Seri Paduka Baginda yang menitikberatkan usaha membantu masyarakat serta pembangunan negara.

“Walaupun berdepan cabaran, usaha memberi kembali kepada masyarakat kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.

Menurut beliau, program itu memberi fokus kepada pendidikan dan kebajikan dengan matlamat menyediakan asas lebih kukuh kepada pelajar serta membuka peluang memperbaiki kehidupan.

Anda Mungkin Berminat