Agong berkenan terima taklimat kemajuan pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menerima taklimat mengenai kemajuan kerja-kerja pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Jalan Kolam Air, berhampiran Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Masjid berkenaan dibina menggunakan dana peninggalan anakanda Baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, yang mangkat pada 5 Disember 2015.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, masjid ini mampu menampung hampir 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Sebelum taklimat, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Turut hadir pada sesi taklimat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Mohd Radzi Mohd Amin; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Nasri Ali; serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Zainal Tumian.

Taklimat itu merangkumi laporan kemajuan kerja pembinaan, susunan reka bentuk dan kapasiti masjid, serta langkah-langkah memastikan projek berjalan lancar mengikut jadual.

Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil dijangka menjadi pusat ibadah dan komuniti utama bagi penduduk sekitar Johor Bahru apabila siap kelak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat