SUBANG JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menziarahi lokasi kebakaran paip gas di Putra Heights yang menyebabkan kemusnahan teruk kepada rumah dan kenderaan penduduk.
Sultan Ibrahim tiba pada pukul 9.40 pagi dan disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Baginda turut dijadual menyampaikan sumbangan kepada ketua isi rumah yang terjejas dan melawat pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights.
Kebakaran yang berlaku selama lapan jam pada pagi Selasa lalu di sepanjang Jalan Putra Harmoni telah memusnahkan kira-kira 500-meter saluran paip gas, menyebabkan kerosakan teruk kepada kediaman dan kenderaan di kawasan berkenaan.
Menurut laporan, sebanyak 235 premis terjejas dalam insiden itu, dengan 87 rumah diisytihar sebagai ‘rosak total’ dan tidak selamat untuk diduduki, manakala 148 rumah lagi hanya mengalami kerosakan kecil dan boleh dibaiki.
Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengesahkan 115 rumah selamat untuk diduduki semula dan seramai 85 penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada Khamis.
Sebanyak 399 kenderaan turut terjejas, termasuk 225 yang musnah terbakar dan 174 lagi mengalami kerosakan.
Seramai 630 mangsa daripada 157 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), manakala 624 mangsa daripada 151 keluarga lagi menumpang di rumah saudara-mara dan kenalan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian paip pembetungan sedang dijalankan di kawasan itu beberapa hari sebelum kejadian dan sebuah jentolak turut ditemui tertimbus dalam kawah yang terbentuk akibat letupan tersebut.