Oleh: Shafira Aziz
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menerima sambutan rasmi negara di Istana Nurul Iman sempena lawatan baginda ke Brunei Darussalam.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah disambut Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Istiadat rasmi dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia ‘Negaraku’, diikuti lagu kebangsaan Brunei ‘Allah Peliharakan Sultan’, sebelum 21 das tembakan meriam dilepaskan.
Sultan Ibrahim berkenan memeriksa Barisan Kawalan Kehormat Tentera Diraja Brunei bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

Selepas itu, baginda berdua bersama rombongan masing-masing menghadiri majlis kunjungan menghadap di Cheradi Laila Kenchana.
Mengiringi Yang di-Pertuan Agong ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj manakala Sultan Hassanal Bolkiah diiringi Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengiran Muda Abdul Malik bersama isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah.
Sesi bertukar cenderamata antara kedua-dua pihak di Cheradi Ratna Kenchana menandakan penutup acara rasmi.
Lawatan rasmi selama tiga hari tersebut dijangka memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei melalui kerjasama lebih erat dalam pelbagai sektor.