Agong Hargai Komitmen Kerajaan MADANI dan Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan penjawat awam atas usaha keras mereka dalam mengurus ekonomi serta pembangunan negara.

Baginda bertitah, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.

“Walaupun ada pihak yang memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mengingatkan penjawat awam agar terus memberi perkhidmatan cemerlang dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kedua iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.

“Kesetiaan bukan bermaksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan, serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Pegawai kerajaan harus memastikan setiap keputusan dibuat mengikut syarat dan peraturan ditetapkan, bukan menurut telunjuk ahli politik.

“Setiap perbelanjaan juga mesti dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau ahli parlimen untuk memancing undi sehingga menyebabkan hutang kerajaan meningkat,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menyeru semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti supaya rakyat terus menaruh kepercayaan serta menghormati seragam yang dipakai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat