KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebanyak 100 ekor lembu bagi menyempurnakan Ibadah Korban Sunat peribadi Baginda.
Upacara penuh bermakna itu berlangsung di Istana Negara, di mana Seri Paduka Baginda turut berkenan melafazkan niat korban yang dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.
Bagi memastikan kelancaran ibadah, Baginda mewakilkan urusetia pelaksana korban Istana Negara untuk melaksanakan penyembelihan bagi pihak Seri Paduka.
Daging korban kemudiannya akan diagihkan kepada kakitangan Istana Negara, golongan asnaf serta keluarga B40, selaras dengan titah Baginda agar manfaat ibadah ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, Datuk Munir turut menzahirkan doa penuh pengharapan.
“Semoga ibadah ini diterima Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Seri Paduka Baginda serta seluruh Keluarga Diraja Johor sentiasa dirahmati, diampuni dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,” doanya.
Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Ahad mengumumkan bahawa Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, penetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta persetujuan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.








