PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, bot tersebut disampaikan menerusi Royal Boat Hangar Johor di Pos Maritim Teluk Gading, semalam.
Kata beliau, baginda berkenan mengurniakan bot itu bagi meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.
“Kurniaan ini mencerminkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.
“Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025, dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook APMM pada Khamis.
Turut hadir ialah Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, dan wakil Royal Boat Hangar Johor, Mohamad Yuni Ismail.
Bot IC 1170CC itu mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter (m) dan lebar 3.5m serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot, manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.
Reka bentuk dalaman bot ini turut diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru ketika operasi.
Saiful Lizan berkata, bot berkenaan akan digunakan dalam pelbagai operasi yang dilaksanakan Maritim Pahang, termasuk Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penguatkuasaan undang-undang di laut serta rondaan maritim.
“Keupayaannya akan memperkasakan peranan Maritim Malaysia dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan, terutama di perairan Pahang.
“Kurniaan ini bukan saja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Pahang tetapi juga satu amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Baca juga: