KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) Tahun 2024 di Istana Negara, hari ini.
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain selaku Panglima Tentera Laut.
Baginda juga berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada Pemerintah Tentera Udara Brunei, Brigedier Jeneral (U) Datuk Seri Pahlawan Mohammad Sharif Datuk Paduka Ibrahim.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafiezzuddin Jantan dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Pada istiadat berkenaan juga, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 18 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 35 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 25 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) melibatkan 20 penerima.
Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan ATM.








