Agong Kurnia Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis Kepada 109 Penerima

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Rabu berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2025 di Istana Negara.

Majlis penuh adat itu menyaksikan seramai 109 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima penganugerahan atas jasa, keberanian dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan pasukan keselamatan negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Antara penerima tertinggi ialah empat pegawai kanan polis yang dikurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP), termasuk Pengarah Pengurusan PDRM CP Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad.” menurut kenyataan itu.

Sultan Ibrahim turut mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada lima penerima, Pahlawan Pasukan Polis (PPP) kepada 16 penerima, Kesatria Pasukan Polis (KPP) kepada enam penerima dan Bentara Pasukan Polis (BPP) kepada 78 penerima.

Pengurniaan ini mencerminkan penghargaan tertinggi negara terhadap kecekapan dan dedikasi warga PDRM dalam memastikan keselamatan awam serta ketenteraman negara sentiasa terpelihara.

Sejak diperkenalkan, DKPP menjadi antara anugerah tertinggi pasukan keselamatan yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda bagi menghargai jasa besar anggota PDRM dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat