KUALA LUMPUR: Keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terserlah apabila Baginda berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua ‘air boat’ berkuasa tinggi milik peribadi Baginda sebagai aset operasi menyelamat ketika berlakunya musibah banjir.
Seri Paduka Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, selain sebagai langkah persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.
Kedua-dua ‘air boat’ berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara dan diyakini mampu meningkatkan kecekapan operasi, selain mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan kepada mangsa banjir yang terjejas.
Mengimbas kembali, pada Mac 2023, tiga ‘air boat’ milik Seri Paduka Baginda telah digerakkan bagi operasi menyelamat di Johor.
Ketika itu, aset berkenaan digunakan untuk memindahkan mangsa banjir serta menghantar bekalan makanan ke penempatan Orang Asli di kawasan Kluang yang terputus hubungan akibat bencana.








