Agong Kurnia Surat Cara Pelantikan Hakim Besar Malaya, Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya serta beberapa Hakim Mahkamah Persekutuan di Istana Negara, pada Rabu.

Istiadat penuh adat istana itu berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, menyaksikan pelantikan Yang Amat Arif (YAA) Datuk Hashim Hamzah sebagai Hakim Besar Malaya.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada empat Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azimah Omar.

Majlis bersejarah itu turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi badan kehakiman dan kerajaan, termasuk Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Turut hadir memberikan penghormatan ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Anda Mungkin Berminat