Agong Lawat Kompleks Bersejarah Smolny Di St Petersburg

ST PETERSBURG: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat Kompleks Smolny, sebuah bangunan bersejarah yang kini berfungsi sebagai pusat pentadbiran utama bandaraya St Petersburg, Persekutuan Rusia.

Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut mesra oleh Gabenor St Petersburg, Alexander Beglov bersama Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri St Petersburg, Evgeny Dmitrievich Grigoriev.

Dalam lawatan tersebut, Sultan Ibrahim turut dibawa meninjau Smolny Bunker iaitu kubu perlindungan bawah tanah yang dibina pada tahun 1937 dengan diiringi oleh Beglov.

Seusai lawatan, Seri Paduka Baginda diraikan dalam majlis santapan malam rasmi yang dihoskan oleh Beglov.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia, TYT Datuk Cheong Loon Lai.

Majlis santapan itu turut diserikan dengan tayangan video mengenai keindahan St Petersburg, diikuti taklimat ringkas oleh Beglov yang menekankan keunikan bandaraya tersebut termasuk hampir 800 jambatan, 94 sungai serta lebih 200 muzium yang menjadikan St Petersburg antara destinasi pelancongan paling popular di Rusia.

Lawatan khas Seri Paduka Baginda ke St Petersburg berlangsung atas jemputan rasmi Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir V. Putin, sekali gus mencerminkan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Rusia.

Anda Mungkin Berminat