KUALA LUMPUR: Dalam semangat sambutan Hari Malaysia yang penuh makna, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar negara terus berada dalam lindungan Ilahi.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan keamanan yang berpanjangan dan dilindungi daripada sebarang musibah,” menurut hantaran di Facebook rasmi Baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah pentingnya perpaduan sebagai asas kekuatan negara.
“Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas perpaduan serta semangat muafakat dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang terus menjadi tunjang kekuatan negara sejak dahulu,” menurut hantaran itu.








