Agong, Raja Permaisuri berbuka puasa bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan, perwakilan asing

Ke Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing serta Pegawai Kanan Kerajaan yang diadakan di Istana Negara pada Isnin.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir ialah Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dan isteri beliau merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, memeriahkan lagi majlis berbuka puasa tersebut.

Dalam masa sama, majlis turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Qatar, Bahrain, Mesir, Indonesia, Palestin, Brunei, Turkiye, Arab Saudi dan Iraq.

Terdahulu, baginda menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama tetamu-tetamu jemputan yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah di surau utama Istana Negara dan kemudian berangkat ke Dewan Santapan Utama bagi majlis berbuka puasa.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat