Agong, Raja Permaisuri Zahir Penghargaan Sempena Hari Ibu

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan penuh makna sempena sambutan Hari Ibu khusus buat seluruh wanita yang bergelar ibu di tanah air.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad, Seri Paduka bertitah bahawa ibu adalah guru pertama, pelindung dan pembentuk karakter manusia yang mencorakkan masa depan bangsa.

“Seorang ibu memegang pelbagai peranan dalam membentuk jati diri manusia.

“Daripada mereka, kita belajar tentang nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa berbakti kepada ibu adalah tuntutan agama serta kunci keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Baginda menzahirkan penghargaan mendalam kepada Raja Permaisuri Agong atas ketulusan dan dedikasi membesarkan anakanda-anakanda dengan limpahan kasih sayang.

Dalam titah penuh keinsafan, Baginda berdua menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan bonda-bonda yang telah mendahului kita.

“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Baginda.

Anda Mungkin Berminat