Agong, Raja Permaisuri Zahir Tahniah Kepada Kontinjen Malaysia Di Sukan SEA 2025

PETALING JAYA: KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan cemerlang meraih 231 pingat keseluruhan pada temasya Sukan SEA ke-33 yang berlangsung di Bangkok dan Chonburi, Thailand.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang dan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh para atlet negara sepanjang berlangsungnya temasya dwitahunan itu.

Baginda turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), barisan jurulatih, pegawai-pegawai serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kejayaan kontinjen negara.

“Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengorak langkah mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Ahad.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan Sukan SEA 2025 dengan kutipan 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 231 pingat.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia di kedudukan keempat keseluruhan, mengatasi Singapura, dan mencatat pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur sejak edisi 2019.

Sebanyak 1,142 atlet negara mengambil bahagian dalam 50 acara sukan dengan beberapa cabang seperti terjun, skuash dan hoki wanita menjadi penyumbang utama emas.

Pasukan kriket wanita turut mencatat sejarah apabila meraih pingat dalam acara T20 buat kali pertama.

Kejayaan besar itu bukan sahaja melakar sejarah baharu buat kontinjen negara tetapi turut menjadi sumber motivasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat