Agong, Raja Permaisuri dan PM zahir ucapan Hari Wesak

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wesak buat semua penganut agama Buddha di Malaysia.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan sama buat rakyat yang menyambutnya.

“Selamat Hari Wesak diucapkan kepada semua penganut agama Buddha di negara ini,” titah baginda melalui hantaran yang dimuat naik di Facebook milik baginda.

Seri Paduka Baginda turut bertitah, menyatakan keharmonian antara kaum sentiasa menjadi tunjang perpaduan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan ucapan Hari Wesak kepada penganut agama Buddha di seluruh negara.

Beliau berharap agar perayaan Wesak pada tahun ini dapat membawa kebahagiaan buat sahabat dan keluarga, selain memperkukuh kerukunan.

Beliau turut mengajak rakyat untuk menjadikan setiap perayaan dan budaya sebagai teras atau elemen yang memperkuat kesepaduan dan mempertingkat persefahaman.

“Marilah kita bersama berusaha dalam meningkatkan persefahaman, rangkul segala kekuatan rakyat dan beri keutamaan dalam melonjak negara ke depan.

“Saya amat yakin negara ini mampu menjadi gagah dengan rakyatnya yang kuat dan berpadu,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat