PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada rakyat Malaysia yang meraikannya.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sambutan ini bukan sahaja merupakan sebagai tanda kesyukuran di penghujung musim menuai.
“Malah menjadi peringatan buat seluruh rakyat agar sentiasa mensyukuri rezeki dan nikmat yang dikurniakan, selaras dengan kepercayaan dan amalan masing-masing,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya rakyat Malaysia yang terserlah melalui sambutan perayaan ini.
“Sekali gus mencerminkan kekayaan warisan tradisi serta keharmonian masyarakat majmuk negara di mata dunia,” titah Seri Paduka Baginda.