KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Deepavali, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan penuh kasih kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia.
Ucapan baginda berdua itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negara.
“Semoga perayaan Deepavali ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua yang meraikannya,” kongsi hantaran itu.
Deepavali atau dikenali sebagai pesta cahaya, melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan dan kebaikan mengatasi kejahatan.
Ia bukan sahaja menjadi detik penting dalam kalendar keagamaan masyarakat Hindu tetapi juga momen perpaduan yang diraikan bersama oleh rakyat berbilang kaum.








